KUALA LUMPUR: Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS) mampu mengaut keuntungan RM3 juta setahun bagi syarikat induk ketika pandemik COVID-19. Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah MOCCIS Berhad, Datuk Ahmad Sobri Wan Teh, berkata MOCCIS bukan saja memberi keuntungan kepada ahli melalui projek yang dijalankan, malah koperasi ini turut memberi pinjaman, menyediakan insuran dan sebagainya.
“Kami ada Ladang MOCCIS Sdn Bhd sebagai anak syarikat yang beroperasi di Teluk Intan, Perak dengan kawasan seluas 1,214.1 hektar ditanam kelapa sawit, selain mempunyai resort dan dusun buah-buahan.
“Keuntungan di ladang saja melebihi RM5 juta setahun ketika pandemik dan keuntungan disalurkan kepada pemegang saham dan ahli koperasi,” katanya ketika merasmikan Hotel DeMOCCIS di Jalan Ipoh, di sini, semalam. Mengulas pembukaan hotel, Ahmad Sobri berkata, Hotel DeMOCCIS yang juga hotel butik pertama dibangunkan MOCCIS Berhad sempena ulang tahun ke-88 sejak MOCCIS ditubuhkan pada 1934 diuruskan di bawah kendalian anak syarikatnya, MOCCIS Property. Katanya, MOCCIS Berhad melabur RM5 juta dengan modal sendiri untuk membaik pulih sebuah bangunan lama lima tingkat milik MOCCIS Berhad.
“Pelaburan besar dalam pembinaan hotel koperasi akan menjadi satu titik tolak dan inspirasi kepada badan koperasi lain di Malaysia untuk turut mengikut jejak langkah MOCCIS Berhad membina fasiliti hotel yang lengkap dan menarik, setanding hotel bertaraf lima bintang.
“Kami juga merancang membuka beberapa lagi hotel koperasi di beberapa lokasi strategik seluruh negara jika menerima sambutan baik daripada orang ramai,” katanya.

Ahmad Sobri berkata, selain terbabit dalam industri yang mendatangkan faedah dan keuntungan kepada ahli, MOCCIS juga antara badan koperasi yang terbabit dalam projek tanggungjawab sosial korporat (CSR). Beliau berkata, pada 2019, MOCCIS memberi dana pendidikan kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berjumlah RM500,000 dan terbaru, sumbangan kepada dana pendidikan sebanyak RM90,000 kepada 150 pelajar tidak mampu membayar yuran pengajian. Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Zazali Haron, berkata SKM sentiasa memantau perkembangan pembangunan koperasi di seluruh negara.
“Hal sama dilakukan kepada koperasi MOCCIS, malah kita sentiasa membantu memberi nasihat supaya kegiatan dilakukan memberi pulangan baik kepada ahli melalui dividen.
“SKM yakin koperasi MOCCIS yang juga koperasi tertua mampu melangkah lebih jauh berdasarkan perancangan yang dibuat pengurusannya,” katanya.
Sumber: Berita Harian