KUALA LUMPUR: Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS) yang ditubuhkan pada 4 Julai 1934 adalah antara koperasi Bumiputera terbesar di Malaysia menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan koperasi sebagai sektor ketiga menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara.
MOCCIS kini sudah mempunyai lebih 17,000 ahli koperasi dan antara salah satu koperasi yang masih relevan dan utuh mencapai usia 88 tahun.
Pelbagai fasiliti pinjaman dan kemudahan diberikan oleh MOCCIS kepada ahli sejak awal penubuhannya dan kini berkembang lebih pesat dalam sektor perladangan kelapa sawit dan agropelancongan.
MOCCIS dengan keterajuan pengurusan terbaharu turut membangunkan butik hotel iaitu DeMOCCIS Boutique Hotel di ibu kota dengan kos pembinaan RM6 juta melalui pembiayaan koperasi sepenuhnya.
Katanya, di bawah MOCCIS Berhad, terdapat Ladang Moccis Sdn Bhd, Moccis Nominiess Sdn Bhd, Moccis Inn Sdn Bhd, Moccis Holding Sdn Bhd, Moccis Properties Sdn Bhd, De Moccis Boutique Hotel Sdn Bhd, De Moccis Lake Resort Sdn Bhd dan Arrahnu Moccis.
“MOCCIS menerusi Ladang MOCCIS Sdn Bhd, turut aktif dalam sumbangan komuniti dan masyakarat melalui pelbagai program keusahawanan dan koperasi, serta penyumbang zakat terbesar tahunan RM500,000 kepada kerajaan Perak,” katanya pada majlis menjelang satu dekad Moccis 88 tahun di sini, kelmarin.
Selain itu katanya, MOCCIS Berhad turut memperkasa tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat terutama golongan istimewa atau orang kurang upaya (OKU) dengn membiayai perbelanjaan penuh Pakej Umrah kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Titiwangsa kepada tiga anak istimewa sempena Ramadan.
Beliau berkata, misi dan visi koperasi MOCCIS Berhad jelas, dengan wawasan menjadikan MOCCIS Berhad sebuah entiti perniagaan koperasi yang menjana keuntungan bagi menyalurkan manfaat dan faedah kepada anggota yang terus aktif mencarum.
Beliau turut mengalu-alukan pendaftaran baharu bagi anggota koperasi yang terbuka kepada eksekutif Bumiputera dengan had kelayakan umur 25 tahun ke atas.
“Koperasi pada usia 88 tahun amat memerlukan sumbangan idea dan kepakaran daripada anggota koperasi yang muda, aktif dan berwibawa untuk menjana lebih pendapatan dan mengembangkan sayap perniagaan koperasi,” katanya.

Sempena ulang tahun MOCCIS ke-88 tahun, MOCCIS Berhad turut membangunkan hotel butik pertama yang mula beroperasi pada 1 Jun tahun lalu.
Pengerusi DeMOCCIS Boutique Hotel, Datuk Abdul Aziz Mat, berharap pelaburan besar dalam pembinaan hotel koperasi itu akan menjadi satu titik tolak dan inspirasi kepada badan koperasi lain di Malaysia untuk turut sama membina fasiliti hotel yang lengkap dan menarik, standing hotel bertaraf lima bintang.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa beberapa bulan untuk melakukan kajian terperinci serta merancang tema yang sesuai dalam mengetengahkan sebuah hotel koperasi dengan konsep butik tetapi bertaraf empat bintang.
“MOCCIS Berhad melabur sehingga lebih RM6 juta dengan modal sendiri bagi membaikpulih sebuah bangunan lama lima tingkat milik MOCCIS Berhad yang disewakan selama hampir 30 tahun sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, hotel di bangunan lima tingkat itu menawarkan enam jenis bilik termasuk bilik khas untuk OKU iaitu Special Needs Suite dengan kadar bayaran antara RM150 sehingga RM350 satu malam.
Sumber: Berita Harian